Pesanan Buat Pemimpin

Nabi SAW bersabda, maksudnya : "Tiap-tiap hamba ALLAH yang diserahi memimpin rakyat, sedangkan ia curang kepada rakyatnya, maka ALLAH akan mengharamkan syurga baginya". (Sahih Muslim)

Tangisan Itu Indah

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya : "Tidak ada sesuatu yang paling disukai ALLAH selain daripada dua titisan dan dua kesan. Dua titisan itu ialah titisan air mata yang keluar kerana takutkan ALLAH dan titisan darah yang tumpah di dalam perjuangan di jalan ALLAH. Manakala dua kesan ialah kesan berjuang di jalan ALLAH dan kesan kerana menunaikan kefardhuan yang telah difardhukan oleh ALLAH."(at-Tirmidzi)

Mutiara Kata Al-Iman Ali a.s.

Hai anak Adam, ingat dan waspadalah bila kau lihat Tuhanmu terus-menerus melimpahkan nikmat atas dirimu, sementara kau terus-menerus mengerjakan maksiat terhadapnya. Lidah orang yang berakal berada di belakang hatinya, dan hati orang yang bodoh berada di belakang lidahnya.

Amaran Pada Pemimpin

Nabi SAW bersabda, maksudnya : "Tiap-tiap kepala pemerintahan (penguasa) yang diserahi memimpin kaum muslimin, tetapi tidak bekerja bersungguh-sungguh dan tidak memberikan petunjuk-petunjuk, maka tidaklah pemimpin itu akan masuk syurga seperti kaumnya." (Sahih Muslim)

Pakaian Itu Untukmu

"Nabi SAW bersabda, maksudnya: "Pakailah pakaian antara pakaianmu yang putih, kerana sesungguhnya pakaian yang putih itu lebih suci dan lebih baik serta kapanilah orang-orang yang mati dengan kain putih." (Riwayat Ahmad)

Sunday, January 30, 2011

Mengintai Cinta Rasulullah


"Mengintai Cinta Rasulullah"
sempena

Ceramah Maulidur Rasul 1432 Hijriah
 
Penceramah : Ustaz Ahmad Ubaidillah Alias
Hari : Sabtu
Tarikh : 19 Februari 2011
Masa : 9.00 malam - 12.00 malam
Tempat : Dataran Gemilang, Kolej Tun Razak

Gerai jualan turut dibuka termasuk jualan makanan, pakaian, tudung, buku dll.

U/P : Penceramah merupakan seorang novelis, penulis buku-buku agama dan banyak lagi. Antara karya beliau adalah Warkah Cinta Berbaur Syurga, Mencari Nur Ilahi, Sakinah, dan banyak lagi. Merupakan seorang lulusan timur tengah yang begitu meminati bidang penulisan.


Marilah sama-sama kita mencari Cinta Rasulullah

Ajak rakan-rakan anda yang lain...


Jawatankuasa Kolej Mahasiswa
Kolej Tun Razak

Saturday, January 29, 2011

Malam Anugerah Tun Razak 2010 (MATR '10)



Malam Anugerah Tun Razak 2010 (MATR '10)
Tema : Kenangan Mengusik Jiwa
Tempat : New York Hotel, JB
Tarikh : 26 Februari 2011
Masa : 7.00 - 11.00 mlm
Pakaian : Retro Irama 60 - an

Pendaftaran boleh mula dibuat pada 9 Februari 2011 bertempat di Bilik JKM KTR.
Sebarang pertanyaan hubungi Syahmi (0127717543)

Anjuran : Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Razak
dengan kerjasama
Kelab - kelab Kolej Tun Razak


Wednesday, January 26, 2011

Delegasi Keilmuan & Pengantarabangsaan De' China (DELPIN)

Program Delegasi Keilmuan dan Pengantarabangsaan De’China (DELPIN) merupakan lawatan 7 hari dan 6 malam yang diketuai oleh saudara Mohamad Helmey bin Che Hashim serta diiringi oleh pengetua Kolej Tun Razak, Dr. Ahmad Johari bin Sihes. Semua peserta DELPIN telah berkumpul di Dataran Gemilang, Kolej Tun Razak UTM pada jam 10.00 malam, 26 Disember untuk bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Tambang Murah (LCCT). Rombongan tiba di sana lebih kurang jam 2.30 pagi pada 27 Disember 2010.


LAPORAN HARI PERTAMA (27/12/2010)

Peserta mula membuat pendaftaran awal dan menyerahkan bagasi untuk penerbangan Air Asia dari Kuala Lumpur, Malaysia ke Tianjin, China pada jam 6.00 pagi. Seterusnya, kami menunaikan solat subuh di surau LCCT sementara menunggu untuk memasuki ruangan menunggu penerbangan. Kami berlepas ke Tianjin, China pada jam 8.30 pagi. Alhamdulillah, kami selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianjin, China lebih kurang pada jam 2.20 petang waktu tempatan, 10 minit lebih awal daripada yang dijadualkan. Waktu tempatan di China sama seperti di Malaysia.  Segala urusan yang berkaitan diselesaikan terlebih dahulu sebelum mengambil bagasi masing-masing. Seterusnya, kami bertemu dengan Pemandu Pelancong yang telah ditugaskan, iaitu saudari Amelia dari Islamic China Tour. Pengisian program DELPIN semuanya diuruskan oleh saudari Amelia.

Agenda pertama kami di Beijing ialah menonton Pertunjukan Akrobatik China. Semasa dalam perjalanan, penerangan tentang Beijing dan peraturan serta budaya diterangkan serba sedikit oleh Amelia. Kami turut diingatkan supaya menghafal nombor plat bas yang akan digunakan iaitu 8698 di mana nombornya membawa maksud tersendiri mengikut budaya Cina, 8 bermaksud kaya , 6 membawa maksud kejayaan manakala 9 beerti panjang umur. Cuaca di Beijing adalah berbeza dengan Malaysia. Memandangkan sekarang adalah musim sejuk, justeru waktu malam adalah lebih panjang berbanding waktu siang. Jam 5 petang sudah pun masuk waktu maghrib di Beijing. Memandangkan suhu yang amat rendah di China, hampir kesemua tasik dan sungai sudah beku. Di China juga terdapat Pertunjukan Kung Fu  yang menampilkan ahli-ahli Kung Fu dari Shaolin Temple yang terdapat di Negeri Qu Nang, China. Antara pertunjukan yang dipamerkan dalam Pertunjukan Kung Fu ialah manusia berbaring di atas pisau dan bermacam-macam lagi aksi yang berbahaya. Lebih kurang jam 5.15 petang kami tiba di tempat Pertunjukan Akrobatik. Antara pertunjukan yang dibuat dalam Pertunjukan Akrobatik adalah bermain Gelung Rotan pelbagai saiz, lompatan, imbang badan dan yang paling ekstrem adalah pertunjukan 7 buah motosikal di dalam bola besi besar. Tiket untuk pertunjukan ini adalah 160 yuen iaitu bersamaan RM 80.00.

Setelah persembahan tamat, kami menuju ke restoran untuk makan malam pada jam 7.30 malam. Makan Makanan China sahaja memandangkan di China tidak ada restoran yang menyediakan Makanan Melayu. Roti Nan turut dijual di China namun dalam versi China. Makanan laut di China amat mahal. Ikan yang dimasak dalam masakan China adalah ikan air tawar yang di pelihara dalam kolam. Masakan China adalah agak masin memandangkan orang China gemarkan masakan yang masin-masin. Restoran yang dikunjungi oleh rombongan adalah restoran yang halal namun demikian arak tetap dijual memandangkan peratusan penduduk di Beijing adalah majoritinya bukan Islam. Justeru, bagi menarik pelanggan bukan Islam, arak tetap dijual di restoran-restoran tersebut. Namun demikian, hal tersebut tidak menjadi masalah memandangkan pemantauan akan sentiasa dibuat oleh imam yang akan memastikan semua masakan adalah halal untuk dimakan oleh setiap orang Islam. Kami menginap di Hotel Ming Du sepanjang tempoh program kami.


LAPORAN HARI KEDUA (28/12/2010)

Tarikh 28 disember 2010 merupakan hari kedua kami berada di Beijing, China. Aktiviti pada hari tersebut bermula dengan sarapan di Hotel Ming Du pada pukul 6.30 pagi. Pada pukul 7.30 pagi, kami diminta berkumpul untuk menaiki bas untuk pergi ke Kilang Jed. Di dalam bas, Amelia menerangkan tentang jadual kami pada hari ini. Setibanya kami di Kedai Jed pada pukul 8.20 pagi, kami diterangkan dan berpeluang melihat sendiri bagaimana batu jed dihasilkan. Terdapat dua proses untuk menghasilkan batu jed, salah satu prosesnya menggunakan kerja tangan oleh pekerja. Selepas itu, kami dibawa ke bilik jualan batu jed di tingkat dua. Kami diajar untuk membezakan batu jed tiruan dan batu jed sebenar. Antara barang – barang yang menarik perhatian kami di bilik jualan itu ialah sarung bantal  dan barang – barang ukiran. Sarung bantal tersebut dipenuhi dengan batu jed dan sangat sejuk apabila memegangnya. Khasiat sarung bantal tersebut ialah bagus untuk kesihatan dan cara penggunaannya ialah dengan meletakkan sarung bantal tersebut di bawah bantal. Barang – barang ukiran yang terdapat di situ juga berkualiti tinggi kerana dibuat oleh pekerja – pekerja yang mempunyai kemahiran ukiran yang tinggi.

Seterusnya, kami meneruskan perjalanan kami ke Beijing Bao Shu Tang Sci-tech Pharmaceutical Co. LTD. Pada pukul 9.40 pagi, kami tiba di sana dan diterangkan tentang produk – produk ubat yang dihasilkan oleh syarikat tersebut. Antara ubat- ubatan yang terkenal ialah Bao Fu Ling untuk menyembuhkan kulit yang terbakar dan kegatalan. Jurucakap tersebut dengan beraninya telah memegang besi panas dan selepas itu, menyapu ubat Bao Fu Ling untuk membuktikan keberkesanan ubat tersebut dan terbukti, ubat tersebut memang berkesan. Selain itu, terdapat ubat She Xiang Zhuang Gu Gao atau lebih dikenali di Malaysia sebagai koyok, ubat tersebut berfungsi untuk melawan radang, menghilangkan sakit otot dan sendi. Ubat Huai Jiao Wan berfungsi untuk membersihkan usus dan melancarkan angin, selain daripada ubat-ubatan, terdapat gelang batu ajaib dijual di sana khusus untuk kesihatan. Gelang tersebut dipakai di tangan kiri untuk melancarkan perjalanan darah.

Pada jam 11.16 pagi ketika dalam perjalanan ke Kilang Kristal, terdapat tugu seorang pahlawan yang sedang menunggang kuda. Pahlawan itu lebih dikenali sebagai Pahlawan Petani yang bernama Lee Shew Seng. Beliau telah menjadi maharaja setelah menggulingkan maharaja sebelumnya. Hal ini kerana maharaja tersebut sering melakukan kekejaman terhadap rakyatnya beliau telah memimpin para petani di dalam serangan itu. Kemudian, tepat 11.20 pagi, kami tiba di Kilang Kristal. Di sana, terdapat sebuah bola Kristal yang berwarna merah seberat 120 kg. Bola Kristal ini adalah yang terbesar di China. Mengikut kepercayaan penduduk China, jika seseorang itu mengusap bola tersebut sebanyak sekali, dia akan menjadi kaya, jika bola itu diusap sebanyak dua kali, orang tersebut akan menjadi pegawai kerajaan dan jika diusap sebanyak tiga kali, orang tersebut akan mendapat sebanyak 3000 orang kekasih. Di samping itu, terdapat sebuah patung Dewa Pintu di bilik pameran kedai tersebut. Ia dipercayai mampu menghalang kejahatan masuk ke dalam kedai dan hanya membenarkan kebaikan sahaja masuk. Pekerja di sana juga telah menunjukkan perbezaan antara cermin mata biasa dan cermin mata kristal, di mana cermin mata Kristal lebih tahan lasak dan amat sukar untuk dicalarkan. Kami juga telah mengenali warna-warna Kristal iaitu putih yang melambangkan kesucian, ungu yang melambangkan percintaan dan biru, lambang ketenangan. Selepas itu,kami bertolak untuk makan tengahari. Kami tiba di restoran yang berdekatan dengan Tembok Besar China dan solat di sana selepas makan tengahari.

Kemudian, kira-kira jam 2.00 petang, kami tiba di Tembok Besar China. Tembok Besar ini telah dibina pada kurun ketujuh sebelum masihi. Selepas Maharaja Qinshihuang menyatukan China, baginda telah menyambungkan kesemua bahagian Tembok Besar tersebut. Itu adalah pada peringkat awal pembinaan Tembok Besar China. Dalam Dinasti Ming, proses membaikpulih secara besar-besaran telah dijalankan. Ini menjadikan Tembok Besar ini sebagai sistem pertahanan yang penting dalam kerajaan China Utara Kuno. Tembok besar yang telah bertahan selama 2000 tahun dan panjangnya melebihi 50 000 km adalah sebuah sejarah yang besar dan panjang. Ia telah menjadi simbol Negara China yang telah tertanam dalam diri setiap rakyatnya. Terletak 45 km di Barat Laut Beijing, Tembok Besar China ini bermula dari Chuanzi Yihao di bahagian timur dan berakhir di Beijing-Zhangjiakou Railway. Bahagian yang telah kami lawati itu, di bahagian hadapan lembah yang berbahaya yang berbentuk V seperti naga. Suasana di sana adalah sangat sejuk. Anak-anak tangga pertama yang perlu kami naiki untuk sampai ke bahagian atas adalah sangat curam. Keadaan tangga yang sangat curam dan tidak sekata juga lebih menyukarkan semasa menuruni bahagian tersebut. Namun begitu, terdapat sebuah tangga yang dibina yang lebih selamat dan lebih singkat perjalannya.

Pada pukul 4 petang, kami tiba di ‘Burning Cream Centre’ and tempat bermain ski. Kedu-dua tempat tersebut terletak berdekatan dengan Tembok Besar dan hanya perlu beberapa minit untuk pergi ke sana. Rombongan  berpeluang untuk bermain dan belajar bermain ski dengan bayaran hanya 160 yuen atau RM80 seorang. Walaupun kami tidak tahu bermain ski tetapi kami mencuba dan hasilnya amat menyeronokkan dan akan diingati sampai bila-bila. Satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Setelah satu jam berada di sana, tibalah masanya kami bergerak ke restoran untuk makan malam. Sepanjang perjalanan pulang, kami menghabiskan masa dengan melihat pemandangan dan tertidur kerana kepenatan. Semasa melalui Tembok Besar, kami dapat melihat lampu-lampu dipasang di sepanjang Tembok Besar China. Menurut kata Amelia, lampu-lampu itu dipasang sempena ketibaan tahun baru lagi beberapa hari. Kami berasa amat bertuah dapat melihat pemandangan yang cantik tersebut. Setibanya di restoran, kami dihidangkan dengan 8 jenis lauk masakan China yang menyelerakan. Kami menikmati juadah yang disedikan dengan penuh selera. Setelah kenyang, tibalah masa untuk pulang ke hotel kami. Setibanya kami di hotel, kami diberi kebebasan untuk melakukan aktiviti sendiri. Ada segelintir dari kami hanya beristirehat di dalam bilik dan ada segelintir lagi, memilih aktiviti bersiar-siar dan membeli-belah di kedai-kedai yang berdekatan dengan hotel kami.


LAPORAN HARI KETIGA (29/12/2010)

Pada 29 Disember 2010, kami membuat lawatan ke Institut Teknologi Beijing pada pukul 8.45 pagi. Di sana, kami difahamkan bahawa ia merupakan sebuah universiti penyelidikan yang lebih menitikberatkan sains dan teknologi. Pada masa yang sama, Institut Teknologi Beijing merupakan sebuah universiti yang terunggul di Negara China. Institut Teknologi Beijing menawarkan 60 program ijazah sarjana muda, 144 program ijazah sarjana, 61 program kedoktoran dan 19 program post kedoktoran. Kami melawat ke School of Management and Economic, School of Foreign Languages, dan Student Union Office. Kami didedahkan dengan program-program yang dilaksanakan oleh para pelajar di sana. 

Kemudian, kami dibawa ke sebuah restoran muslim untuk makan tengah hari pada pukul 12. 20 tengah hari, kami membuat lawatan ke kilang sutera. Di sana, kami didedahkan dengan cara-cara membuat sutera dan ia amat menakjubkan. Kami juga dibawa membeli-belah barang-barang yang diperbuat daripada sutera. Selepas itu, kami menunaikan solat Zohor di sebuah surau.

Pada pukul 3.00 petang, kami membuat lawatan ke Beijing Language and Culture University. Di sana , kami dijemput oleh seorang pensyarah yang berkhidmat di universiti tersebut dan kami difahamkan bahawa ia merupakan sebuah universiti yang mengagungkan bahasa cina dan mendedahkan kebudayaan masyarakat Cina terhadap pelajar luar negara. Universiti tersebut ditubuhkan pada bulan Jun 1962. Pada masa yang sama, universiti tersebut juga menyediakan program mempelajari bahasa-bahasa asing yang lain seperti bahasa German, Arab,  Sepanyol, Itali, Inggeris, Jepun, dan Korea. Di sana, kami dibawa melawat sebahagian tempat di kawasan kampus tersebut disebabkan kekurangan masa. Kemudian, kami melihat tulisan kaligrafi yang dilakukan oleh pelajar luar negara. Semasa kami ingin bertolak pulang, kami dapat melihat salji turun. Kami semua berasa amat gembira dan bertuah kerana dapat menikmati fenomena yang sama sekali tidak dapat dilihat di Malaysia. Pada pukul 5.00 petang, kami dibawa makan malam di sebuah restoran muslim yang menyediakan makanan halal. Kami pulang ke hotel pada pukul 6.20 malam.


LAPORAN HARI KEEMPAT (30/12/2010)

Agenda pada hari keempat bertambah menarik. Kami tiba di Tian An Men Square dan Kota Larangan (Forbidden City) pada jam 10 pagi. Luas Forbidden City ialah 72 hektar dan tempat tersebut mempunyai dua pintu utama. Pintu masuk di bahagian utara manakala pintu keluar di bahagian selatan. Terdapat dua dinasti yang terkenal pada zaman tersebut iaitu Dinasti Ming dan Dinasti Chin. Dinasti Chin merupakan dinasti terakhir yang wujud di China. Hal ini kerana selepas kemangkatan Maharaja pada dinasti tersebut didapati tiada pewaris yang seterusnya. Forbidden City dibina di kawasan tersebut disebabkan tiga faktor yang mempengaruhinya. Faktor pertama ialah sungai, kerana ia dipercayai sebagai punca rezeki untuk rakyat setempat. Faktor kedua ialah terdapat gunung di belakang bagi menghalang angin. Manakala faktor yang terakhir ialah tingkap yang dibina menghadap arah selatan. Ini bagi mengelakkan sinaran matahari yang terik masuk ke dalam pada musim panas. Forbidden Kingdom mula dibina pada 1406 dan siap dibina 14 tahun selepas itu. Ia mempunyai 15 lapisan sedalam 4 meter. Manakala atapnya setinggi 4 meter di mana rakyat setempat tidak dibenarkan sama sekali membina rumah yang atapnya melebihi 4 meter. Di sana juga terdapat satu bangunan yang dinamakan sebagai bilik sejuk. Bilik ini digunakan sebagai tempat tinggal gundik selepas kemangkatan maharaja. Gundik-gundik akan tinggal di dalam bilik tersebut sehingga akhir hayat mereka. Bilangan gundik yang menemani maharaja pada Dinasti Ming adalah sekitar 10 hingga 15 orang. Manakala pada zaman Dinasti Chin pula seramai 12 hingga 17 orang. Pada zaman Dinasti Chin terdapat seorang maharaja yang sangat dikenali kerana beliau mempunyai bilangan gundik yang paling ramai sepanjang pemerintahan beliau iaitu seramai 3000 orang.

Seterusnya kami makan tengah hari dan menunaikan solat di Masjid Tiannya yang berusia 800  tahun. Pada tahun 2008, ia telah dibaiki pulih semula kecuali tempat wuduk yang masih kekal seperti dulu. Pada jam 1.05 petang, kami tiba di Dr. Tea kedai menjual teh. Terdapat pelbagai teh antaranya Jasmine tea, Pure tea dan Oolong tea. Pure tea merupakan teh terbaik. Ia berasal dari China selatan. Ia juga sesuai untuk mendapatkan tidur yang lena. Teh ini boleh diminum selepas makan tengah hari atau makan malam. Teh ini dapat bertahan selama tiga hari jika disimpan di dalam peti sejuk. Serbuk pure tea yang belum digunakan boleh bertahan selamanya. Teh Jasmine pula amat bagus untuk penglihatan dan memori. Ia juga sesuai untuk kecantikan dan diminum secara ‘slurp’.

Kami meneruskan agenda pada hari tersebut dengan mengunjungi Olympic Sponsor Jewelry City. Kami diperkenalkan dengan sejenis batu di mana di dalamnya terdapat blue sapphire. Ia digunakan untuk membuat barang perhiasan wanita seperti loket, gelang, cincin dan lain-lain. Berdekatan dengan tempat tersebut terdapat Stadium Sarang Burung (Bird Nest Stadium) yang digunakan pada Sukan Olimpik Beijing 2008. Kami sempat bersiar-siar dan bergambar di sekitar stadium tersebut walaupun angin kencang ketika itu. Terdapat 91 ribu tempat duduk di dalam stadium dan luasnya sekitar 96 hektar. Pada jam 4.00 petang, kami tiba di Chinese Traditional Medicine Center- Herbal Medicine Center untuk mengurut kaki. Di sana kami diperkenalkan dengan ubat-ubatan yang dikatakan berasal dari Gunung Himalaya. Kami juga berkesempatan mendapat urutan kaki percuma dari pelatih-pelatih di sana.


LAPORAN HARI KELIMA (31/12/2010)

Pada hari kelima,  kami memulakan hari dengan sarapan pagi pada pukul 8.30 pagi di Hotel Ming Du, Beijing. Kemudian, semua peserta berkumpul di lobi hotel dan seterusnya bertolak ke Summer Palace dengan menaiki bas. Perjalanan mengambil masa selama satu jam sepuluh  minit kerana kami menempuhi kesesakan di sepanjang jalan menuju ke destinasi. Mujurlah pemandu pelancong kami, Micheal memenuhi masa terluang dengan menceritakan serba sedikit sejarah Summer Palace. Maharaja di China menggunakan khidmat pakar fengshui dalam mencari lokasi yang sesuai untuk membina istana mereka, menurut pakar fengshui lokasi istana mestilah berdekatan dengan sungai,  berlatar belakangkan bukit dan sinaran matahari.

Pada jam 9.40 pagi, kami tiba di Summer Palace yang  merupakan sebuah taman bagi maharaja untuk beristirehat pada musim panas. Ia turut dikenali sebagai Yihe Yuan yang bermaksud ‘Gardens of Nurtured Longevity’. Kami telah dibawa oleh Micheal dengan lebih dekat dengan kawasan tasik ini sambil melihat seni bina taman tersebut sejak beribu-ribu tahun dahulu. Kami turut mengambil gambar kenang-kenangan. Oleh sebab cuaca yang sangat sejuk iaitu pada suhu -15 darjah selsius, kami tidak dapat berada lama di tasik ini.

Kami tiba di Fresh Water Pearl Center pada pukul 10.10 pagi, iaitu perusahaan mutiara milik kerajaan China. Mutiara segar diperoleh daripada sekitar  Tasik Kunming di Summer Palace. Selain dijadikan perhiasan wanita, mutiara turut digunakan untuk membuat krim kecantikan muka, krim pengelupasan, dan lain-lain. Setibanya di sini, kami diberi taklimat ringkas tentang mutiara dan bagaimana untuk mengenalpasti keaslian mutiara tersebut. Selain itu, kami diberi peluang untuk melawat ruang pameran dan membeli mutiara sebagai buah tangan.

Rasanya tidak lengkap lawatan ke China sekiranya tidak bertemu dengan maskot Sukan Olimpik Beijing 2008 ini. Kami meneruskan agenda pada pukul 11.15 pagi dengan melawat Zoo Beijing. Kami amat  bertuah kerana berpeluang melihat habitat panda yang sedang aktif pada musim sejuk Panda House di sana. Seterusnya, kami menjamu selera di Restoren Halal. Selesai menjamu selera, kami telah dibawa oleh Micheal ke salah sebuah masjid yang terdapat di China untuk solat Jumaat dan solat jama’.
Seterusnya, agenda rombongan diteruskan di Sunny Market dan Silk Market untuk membeli cenderamata yang akan diberikan kepada teman-teman dan keluarga. Di Sunny Market kami diberikan masa selama satu jam setengah untuk membeli-belah di sana, manakala di Silk Market kami diberikan 2 jam untuk membeli-belah. Kami menggunakan kalkulator untuk berkomunikasi dengan peniaga-peniaga di sana kerana mereka tidak tahu Berbahasa Inggeris, begitu juga untuk tawar-menawar.


LAPORAN HARI KEENAM (1/1/2011)

Pada 1 Januari 2011, Sabtu, rombongan berkumpul dan memulakan perjalanan ke tempat makan tepat pukul 11 pagi. Rombongan sampai ke tempat makan lebih kurang 11.30 pagi. Seperti biasa, kami dihidangkan dengan pelbagai jenis lauk-pauk iaitu lebih kurang lapan hidangan. Selepas semua kenyang mengisi perut, rombongan meneruskan perjalanan ke masjid orang Islam di sana. Di samping itu, terdapat pusat membeli-belah orang Islam yang kedudukannnya tidak jauh dari masjid. Sebelum menunaikan solat, rombongan pergi ke pusat membeli-belah tersebut. Ada yang membeli makanan ringan dan ada juga yang membeli barang-barang yang tidak terdapat di Malaysia. Ada juga yang membeli strawberi bersalut karamel yang jarang didapati di negara kita. Tidak ketinggalan juga buah oren dan ceri bersalut karamel yang menyebabkan si pembeli berasa rugi tidak membeli lebih banyak. Setelah sejam membeli-belah, iaitu lebih kurang pukul 1.15 petang, rombongan bertolak ke masjid dengan berjalan kaki sahaja. Ketika pertama kali menjejakkan kaki ke masjid tersebut, semua orang terpesona dengan susun atur dan reka bentuknya yang unik dan mengikut tradisi dan adat orang Cina. Rombongan juga bertuah kerana dapat merasai pengalaman bagaimana orang-orang Islam di sana melaungkan azan. Pengalaman seperti ini tidak mungkin dapat dilupakan.

Setelah rombongan selesai menunaikan kewajipan masing-masing, rombongan bertolak pula ke pusat membeli-belah yang telah dikunjungi semalam. Bagi sesiapa yang masih belum puas membeli belah, peluang terakhir berbuat demikian adalah hanya untuk hari tersebut kerana ini merupakan kali terakhir rombongan berkunjung ke Silk Market. Rombongan diberi masa selama tiga jam iaitu dari pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang. Rombongan berpecah untuk memborong barang dan hadiah yang ingin dibawa pulang ke Malaysia. Ada yang membeli baju Beijing, cenderahati, kipas, ‘key-chain’ dan tidak ketinggalan juga baju kemeja. Selain membeli-belah, inilah masa bagi rombongan untuk menghabiskan duit masing-masing. Setelah puas membeli-belah, perut mula berkeroncong dan minta diisi. Rombongan meneruskan perjalanan ke destinasi yang seterusnya iaitu restoran untuk makan malam. Mengenangkan malam tersebut merupakan malam terakhir rombongan makan malam di Beijing, sesi bergambar bersama pelayan-pelayan restoran tidak dilupakan. Rombongan pulang semula ke Hotel Ming Du lebih kurang 7.30 malam untuk merehatkan diri dan membuat aktiviti masing-masing.


LAPORAN HARI KETUJUH (2/1/2011)

Seperti biasa, setiap pagi pihak hotel akan membuat ‘morning call’ jam 6.00 pagi. Kami semua bersarapan pagi dan dikehendaki berkumpul di lobi Hotel Ming Du jam 8.00pagi. Pada jam 8.30pagi kami semua ‘checkout’ dari Ming Du hotel. Terdapat beberapa masalah sebelum kami meninggalkan hotel tersebut. Pihak hotel telah mengenakan bayaran sebanyak 50 yuen kepada sakinah dan fatinah kerana masalah karpet rosak akibat penggunaan seterika yang tidak effisyen.
Tepat jam 9.10pagi, kami sampai ke ‘Beijing train station’. Di sana kami perlu menaiki ‘bullet train’ untuk sampai ke Bandar Tian Jin. Pada jam 9.50pagi, kami menaiki ‘bullet train’ tersebut dengan kelajuan 380km/jam. Sekitar jam 11.30pagi kami selamat sampai ke Bandar Tian Jin. Di situ kami diberi masa selama 30 minit untuk membeli-belah. Tepat jam 12.00 tengahari, kami berkumpul di pintu depan Bandar Tian Jin untuk makan tengahari di Star Chain Restaurant of Donglaishun.
Setelah selesai makan, kami bergerak ke Lapangan Terbang Tian Jin jam 12.30 tengahari dan sampai ke lapangan terbang tersebut jam 1.25 petang. Segala perjalanan mengemas kini bagasi berjalan lancar. Kami menaiki penerbangan jam 3.05 petang dan berlepas ke Malaysia jam 4.00petang. Sepanjang perjalanan menaiki penerbangan tidak mempunyai sebarang masalah.

Pada jam 10.00 malam, kami selamat sampai ke tanah air tercinta, Malaysia. Kami mengambil bagasi dan terus menaiki bas untuk pulang ke Universiti Teknologi Malaysia, UTM pada jam 10.50 malam. Bas tersebut berhenti rehat di perhentian Seremban selama 30 minit. Kami mengambil kesempatan untuk membeli makanan sebagai alas perut. Setiap orang diberi RM10 untuk membeli makanan masing-masing. Tepat jam 3.15 pagi, kami akhirnya selamat sampai ke UTM dan pulang ke bilik masing-masing. Walaupun  berasa penat kami sangat senang hati setelah berjaya mengakhiri rombongan ke Beijing, China.


Jawatankuasa Kolej Mahasiswa
Kolej Tun Razak

Sunday, January 23, 2011

Selayang Pandang Kolej Tun Razak

          Tak kenal maka tak cinta. Begitulah pepatah yang boleh dikaitkan dengan kolej Tun Razak (KTR), Universiti Teknologi Malaysia yang telah ditubuhkan pada tahun 1989/1990. Pada peringkat awal, kolej ini dikenali sebagai Kampung Cengal dan kemudiannya pada tahun 1995, nama Kolej 3 telah digunakan. Semusim berlalu dan pada tahun 1997, nama Kolej 3 ditukarkan sekali lagi kepada Kolej Tun Razak sempena nama Perdana Menteri kedua. Pada mulanya keseluruhan 23 blok asrama KTR ini didiami oleh siswa sahaja. Namun pada tahun 1996,  KTR telah diserikan lagi dengan kedatangan siswi buat pertama kalinya sejak ia ditubuhkan.

          Kini terdapat tiga jenis bilik asrama yang disediakan Kolej Tun Razak iaitu bilik perseorangan, berdua dan bertiga. Setiap bilik dikenakan harga yang berbeza-beza sesuai dengan kemampuan  demi menjaga keselesaan dan kebajikan seseorang pelajar di Universiti Teknologi Malaysia ini. Kawasan persekitaran yang sihat juga turut diwujudkan oleh pihak pentadbiran bagi menambahkan lagi keceriaan di kolej.

          Otak yang cerdas datangnya dari badan yang cergas. Oleh itu, pihak kolej telah menyediakan tempat beriadah dan bersukan untuk kegunaan mahasiswa dan mahasiswi. Padang bola sepak, padang bola jaring, gelanggang badminton, dan gimnasium disediakan untuk kemudahan semua warga kolej.

          Dari sudut akademik pula, KTR menyediakan Pusat Komputer (TRNet) yang dilengkapi dengan kemudahan Internet, printing, scanning dan burning. KTR juga menyediakan Dewan Serbaguna kolej yang sentiasa dibuka untuk tempahan pelajar bagi menjalankan aktiviti-aktiviti kolej.

          Sesungguhnya KTR adalah yang terbaik diantara yang baik. Kita sebagai warga kolej ini haruslah berusaha untuk mengekalkan malah meningkatkan prestasi kolej sebagai Kolej Yang Cemerlang.

Jawatankuasa Kolej Mahasiswa
Kolej Tun Razak

Assalamualaikum Dan Selamat Datang


Assalamualaikum & Selamat Datang

 
diucapkn kepada seluruh pengunjung. Alhamdulillah. Dengan keterluangan waktu yang ada, kami warga Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) 2011 Kolej Tun Razak berhasil menubuhkan blog yang khusus untuk JKM. Di blog ini, pelbagai info, maklumat, pengumuman, berita dan bermacam-macam lagi akan dikongsi sebagai langkah memudahkan perhubungan dengan warga Kolej Tun Razak khususnya dan warga Universiti Teknologi Malaysia secara amnya.

Diharapkan dengan adanya blog ini, aktiviti yang bakal dijalankan akan lebih memberi impak yang jauh lebih besar kepada penghuni-penghuni di KTR dan UTM amnya. Blog ini juga akan turut menjadi tempat rujukan mahasiswa mengenai isu kebajikan, info terkini dan juga aktiviti yang bakal dijalankan.

InsyaALLAH, blog ini juga akan menempatkan carta organisasi terkini JKM 2011 sebagai pemudah bicara dan cara kepada semua penghuni dalam membuat usrusan baik dalam urusan kebajikan mahupun dalam urusan aktiviti.

Akhir sekali, selamat datang sekali diucapkan kepada semua pungunjung. Moga ukhuwah kita terus berkekalan.

"Bersama Kita Memacu Ke Arah Kecemerlangan"


Jawatankuasa Kolej Mahasiswa
Kolej Tun Razak

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites